Bingkisan Tarbiyah Di Bumi Tripoli

Dalam tak sedar rupanya sudah sebulan aku di bumi Sahara ini… bagai baru semalam rasanya aku meneguk secangkir mocha yang dibuat oleh bonda tercinta di pagi hari.. Terlalu pantas masa berlalu.. Ah rindu menghambat diri bila mengenangkan orang yang dikasihi ditinggalkan, apa kan daya demi mengutip madu (ambil di sarangnya, pasti terkena sengatannya) di bumi Allah ini bagi diberikan kemanisannya buat umat yang sedang tenat… Kalau dilayan maka tersungkurlah diri di pertengahan pemusafiran ini, biarkan rindu ini menjadi penghambat semangat demi mencapai kejayaan yang hakiki di depan Rabb nanti…

Gurun sahara, Omar Mokhtar, Benghazi… Itulah yang sinonim yang diberikan bagi bumi Libya ini.. Terlalu banyak tarbiyah yang ada di sini, tetapi kebanyakannya lahir dari madrasah alam yang memberikan seribu maksud yang tersirat disebaliknya… cukup sekadar melalui bandarnya yang diberi nama Midan as-Syuhada’ yang padanya terletak makam para syuhada’ yang gugur ketika zaman Uthmaniyyah, bersebelahannya terletak satu istana yang diberi nama as-Sarraaya al-Hamra’ (Istana Hamra’) dijadikan muzium bagi dimuatkan segala macam khazanah sejarah Byzantine dan lain-lain. Jika diamati, bandar ini cukup indah kerana ia betul-betul bersebelahan dengan laut mediterian (antara laut yang tercantik di dunia). Tapi seperti biasa, jika tiada taqwa serta tawadhu’ dalam diri terhadap Sang Khaliq, maka ia menjadi sekadar perhiasan semata-mata. Jauhlah dari rasa syukur dan takjub kepada Penciptanya.

Mmm, masyarakatnya disini majoriti adalah Muslim, susah untuk menjumpai penganut agama al-Masih (Kristian) dan lain-lain. Mereka berhaluan mazhab al-Maliki dan bacaan al-Qur’an mengikut riwayat Imam Qalun (antara 7 Imam qiraat). Kalut juga dibuatnya bila hendak mengalunkan bacaan al-Qur’an di masjid, tiba-tiba menjadi lain harkat dan susunan ayatnya. Berbeza dengan sebelumnya (di Malaysia). Ah, rupanya tak cukup maklumat yang aku kumpul melalui Wikipedia dan eksklopedia (ntah mcm mne eja ek…?)..mmm, mne nk jumpa dalam tu.. yang jumpa The Green Book (buku hijau perlembagaan diktator En. Ghadafi) dan kerajaan sosialisnya. Apa-apa pun Alhamdulillah segalanya dapat di atasi dengan baik.

Oh ye, seronoknya di sini pelajar Malaysia tak ramai seperti di tanah arab yang lain. Hanya ada 4 orang sahaja pelajar Malaysia, yang seorang lelaki dan 3 perempuan.. yang lelaki namanya Abdul Aziz al-Malizi (laqab atau gelaran yg dinisbahkn kpd Malaysia), baik orangnya.. memang kalau orang yang nama Abdul Aziz ni memang baik dan ringan tulang…(rindu plak dengan Abdul Aziz al-Kriss di Malaysia)..

Minggu ni dah masuk minggu ke tiga aku memulakan kuliah intensif atau daurah Bahasa Arab. Biasalah, segalanya menuntut kesabaran yang tinggi, mula-mula tu memang tak faham sepatah pun, ye lah kuliah di Malaysia memang kitab-kitab silibusnya dari Bahasa Arab tapi penerangan dari pensyarah-pensyarah yang dikasihi kebanyakannya dari bahasa wathoni (kebangsaan). Bukan kerana ketidakmampuan pensyarah tetapi pelajar sendiri yang takut dan susah memahami bahasa yang indah ini. InsyaAllah, moga ada pembaharuan di dalam sistem pendidikan bagi tanah air yang tercinta akan datang.

Ya Salam, selawat dan salam buat Rasulullah saw aku dapat bersujud dan merasai kehangatan taqwa, iman dan syukur di tanah Libya ini. Tak dapat diterjemahkan kesyukuran ini melainkan dengan memperhambakan diri padaNya di atas baiah yang telah dimenterai. Biarlah susah hanya untuk seketika demi kemanisan yang hakiki. Moga Allah mengkabulkan bagi yang mengharapkanNya.

Ah, tersentuh jiwa ini apabila mendengar alunan nasyid al-Habib nyanyian Syeikh Masyari Al-Afaasi sambil jari-jemari sibuk menari di atas keyboard menyusun barisan kalimah seorang gharib untuk teman-teman atau sahabat-sahabat yang cukup dikasihi. Bukan sekadar bercerita, tapi di sebaliknya menuntut seribu konsentrasi yang penuh dengan bersuluhkan iman yang tulus lagi suci.

Aku berdiri melihat kampus yang tersegam megah berdiri, yang kedudukannya terletak hanya 15 minit dari laut Mediterian. Dalam tidak sedar is telah melahirkan beribu-ribu Du’at (pendakwah) yang sekarang masing-masing memainkan peranan mereka di seluruh dunia. Salah seorangnya adalah murabiku sendiri yang memulakan sentuhan tarbiyahnya ke hati ini di bumi KUIS al-Raasyidin yang tercinta. Tiada ungkapan dan kata yang dapatku berikan padanya melainkan titipan lafaz doa buatnya. Sekali lagi jiwa ini tersentak, bila teringatkan lafaz kata-kata tarbiyah, nasihat dan semangat dari 2 orang murabiku di KUIS al-Raasyidin. Moga ia menjadi bekal buat diri di sepanjang perjalanan ini.

Akhirnya aku mencuplik dari tulisan Ustaz Pahrol Juoi yang lebih kurang maksudnya, katakan pada diri jika tak sanggup mengharung laut kelelahan, jangan diharap seraut kejayaan. Kita tidak akan dapat menjangkau rahsia mutiara jika tak berani menyelami samudera. Berani untuk kalah. Ingat selalu bahawa kekalahan hakikatnya adalah kemenangan yang ditangguhkan.

Teruskanlah berfikir bermakna bertadabbur, kerana dengan fikiran itu mampu mengubah impian menjadi wawasan. Kemudian hati menterjemah wawasan menjadi keazaman dan usaha akan menggerakkan keazaman mencipta kenyataan.

Aku cukup2 terhambat dengan sajak Ustaz Pahrol Juoi:

Hati seorang lelaki… Kekadang perlu sekeras waja…
Ada masanya mesti selembut sutera…
Ah, lelaki…. Jika jiwamu tulus kerana Ilahi… pasti lurus perananmu sebagai LELAKI!


“Izinkan lelaki itu pergi, Walau kakinya bagai terpasung luka,
Walau hatinya tercalar bisa, Izinkan dia melangkah jua…


Tangismu tidak dia lupakan,
Bukan dia tega, bukan dia rela, tetapi dia terpaksa….
Izinkan dia pergi jua…


Di hatinya ada wahyu yang merayu, Di situ tidak pernah ada tunggu…
Walau terjerat, Walau terikat, Dia mesti pergi jua…


Ah, genderang itu telah berbunyi,
Dia terpaksa pergi, Jangan kau tunggu lagi…
Mari pergi bersamanya,
Walau terseksa…. Lelaki itu kan pergi jua!!!”


Aku adalah lelaki…..:)
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Dimana Prioriti kita…?




Segala puji bagi Allah bagi setiap kurniaanNya. Selawat dan salam, ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, ahli keluarga, para sahabat serta seluruh saf pejuang Islam dan mereka yang menyambut seruan Islam yang mulia ini.

Firman Allah s.w.t:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul Yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? dan (ingatlah), sesiapa Yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu”. Ali-‘Imran: 144


Baru-baru ini kita umat Islam dikejutkan oleh satu tindakan berani seorang wartawan kuffar yang secara terangan dan berani menghina junjungan besar Rasulullah s.a.w. Satu perbuatan yang tidak bertamadun ini betul-betul mencabar sensetiviti umat Islam dari pelbagai latar belakang. Persoalannya di sini, kenapa perkara ini boleh berlaku? Pernah kita umat Islam membuat satu tindakan yang memburukkan mana-mana agama? Jauh sekali tidak. Jadi apa sebenarnya realiti yang melanda umat Islam sekarang?

Jawapannya mudah, tepuk dada tanya iman…


Rentetan daripada insiden itu Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) bersama NGO2 Islam mengadakan satu demonstrasi aman (tiada gangguan FRU) serta penyerahan memorandum kepada Duta Kedutaan Sweeden bagi mendesak pihak Sweeden mengambil tindakan segera kepada makhluk Allah yang menjadi anjing kepada puak-puak yang sentiasa merancang untuk menghancurkan Islam.


Umat Islam kena bangkit dalam mimpi dunia ini yang sentiasa melalaikan kita dari tujuan asal kita diciptakan di muka bumi Allah ini. Rasulullah s.a.w telah wafat, wahyu telah terputus daripada langit. Apa yang telah ditinggalkan oleh Baginda s.a.w hanya dua perkara, yang Nabi berjanji bahawa sekiranya kita benar-benar berpegang dengannya nescaya tidak akan sesekali sesat, itulah Al-Qur’an yang suci dan As-Sunnah yang mulia.


Hari ini di mana kita meletakkan kedua-duanya? Kita hanya mengambil sebahagiannya dan kufur sebahagiannya. Tak ubah seperti perangai Bani Israel yang Allah firman di dalam al-Qur’an tentang perihal mereka ini yang beriman dengan separuh kitab dan kufur kepada separuh kitab (al-Baqarah:85). Mungkin juga tak ubah seperti keldai yang memang binatang ini dikenali dengan kebodohannya, di mana ia tidak mengetahui apa-apa isi yang diletakkan di atasnya (al-Jumu’ah:5).


Kita sibuk menunding jari antara satu sama lain. Kita lebih suka meruntuh daripada membina. Kita lebih suka menghukum daripada sama-sama turun ke medan dakwah. Kita lebih suka bercakap dari bertindak, alih-alih resolusi. Setiap tahun ada sahaja resolusi yang dibuat, tapi di mana hasilnya…?


Sifirnya mudah, dalam hal ini sekiranya kita pilih Islam sebagai jalan penyelesaiannya, maka akan selesai segala persoalan yang berlaku. Islam bukan semata-mata menjadi batu loncatan untuk memancing sokongan Umat Melayu untuk mencapai kemerdekaan, tetapi Islam adalah cara hidup dan Islam sebagai Ad-Deen.


Kita mengaku bahawa kita mengasihi dan mencintai Rasulullah s.a.w tetapi dalam masa yang sama kita mengkhianati lafaz cinta tersebut dengan tindakan kita yang biadab. Memperlekeh hukum Allah, mempertikaikan sunnahnya, mempersoalkan ajarannya dan sebagainya. Bukankah dengan kita beramal dengan Islam itu adalah bukti cinta kita yang tulus, bukankah cinta itu dengan kita menghargainya, dengan menghargai barulah hadirnya pengorbanan yang erti pengorbanan adalah memberi sesuatu yang kita miliki dari sudut material dan sebagainya. Dengan cinta inilah yang akan menjadikan seseorang mukmin itu optimis dalam melaksanakan segala ajaran Baginda Rasulullah s.a.w.


Kembalilah dengan Islam, itulah yang tepat. Menjadi satu pengorbanan dan bukti cinta juga sekiranya kita sama-sama turun berdemontrasi, berjalan beberapa langkah serta berpanas terik semata-mata demi Rasulullah s.a.w. Moga diberikan ganjaran syurga daripada Allah s.w.t di atas tindakan kita ini. Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang hadir.


Persoalannya di sini di mana prioriti kita, sama ada berarak di Maulid Nabi atau berarak berdemontrasi demi membela maruah Baginda s.a.w?

Jangan cakap. Tapi lakukan...
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

MAKA KATAKANLAH YANG BAIK @ DIAM….



Salam Ukhuwwah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengizinkan diri ini untuk konsisten di dalam medan perjuangan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, ahli keluarganya serta mereka yang mengikut ajarannya…

Ribuan kemaafan saya ucapkan kepada seluruh sahabat-sahabat kerana dah lama tak update blog yang menjadi salah satu mekanisma untuk saya berbakti untuk Islam ini. Saya berharap agar Allah memberikan kelapangan masa untuk sentiasa mengupdate blog ini.

Allahu Rabbuna, sampai hari ini nikmat Allah s.w.t tidak pernah henti-henti dilimpahkan ke atas hambaNya . Lagi-lagi dengan nikmat kemanisan Iman dan Islam… Ke mana semua kemuliaan yang diberikan Allah kepada kita hari ini dengannya? Apa yang kita mahukan dalam hidup ini? Ke mana kesudahan kita selepas ini? Kita lupa? Atau untuk bersangka baik mungkin kita terlepas pandang..tak per, manusia memang sifatnya pelupa… cukup ker alasan kita di depan Allah kelak…?

Baru-baru ini saya dijemput untuk memberi pengisian usrah bersama adik-adik asasi. Buat pertama kali saya bersama mereka walaupun asasi telah ada di kampus ini hampir setahun lebih. Pada mulanya, saya sangka mungkin kalau dalam program begini kurang dapat sambutan, ye lah program pakej ke syurga ni kurang sambutan sikit..:-)

Setibanya saya di sana sangkaan saya meleset, betapa bersungguhnya mereka berkumpul walaupun tidak semua yang hadir tapi kedatangan cukup membanggakan saya. Kami mulai dengan bacaan surah al-Mulk dan perkongsian ilmiah.

Sebagai seorang yang mengharapkan keampunan Allah, saya bangga bila mana dalam hiruk pikuk remaja di kampus ini tertipu dengan dunianya, tapi rupanya ada sekelompok golongan ashabul kahfi ini yang mahukan yang haq (kebenaran). Mereka rela diri mereka ditarbiyah, walaupun yang memberi pengisian adalah orang yang telah digambarkan dengan persepsi yang negatif oleh sesetengah pihak kononnya disebabkan gerakan atau beberapa perkara yang dilakukan oleh saya, yang bertentangan dengan prinsip-prisip mereka.

Alhamdulillah, kebenaran itu tidak dapat dipadamkan dengan tipu daya. Sedalam mana pun ia ditekan, satu hari ia akan melonjak naik yang momentum itu dapat menggerakkan mereka yang tidur atau mamai. WAllahu a’lam.

Moga adik-adik ini, sentiasa dibawah pemeliharaan Allah s.w.t dari segala fitnah dunia ini serta moga hidup mereka tetap di landasanNya.

Memang letih dengan hidup ini, tapi ia terubat kalau kita tahu bahawa hidup ini adalah perjuangan. Kita tahu matlamat hidup ini ke mana. Manis lagi jika hidup ini untuk Islam, bukan sahaja hidup bersama Islam tetapi hidup untuk Islam… Bukan semua muslim itu sanggup untuk hidup untuk Islam, hanya seorang mukmin itu sahaja yang akan menjadikan hidupnya untuk Islam.

Alhamdulillah, saya semakin hampir ke garisan penamat bagi marhalah pertama di kampus yang tercinta ini. SubhanAllah, di sinilah saya menjumpai permata yang selama ini saya mahukan. Bukan semua manusia itu sama jalan ceritanya, mungkin asas ceritanya sama tetapi method dari segi praktikalnya berbeza dari yang lain.. manusia tidak boleh menafikan kewujudan Tuhan iaitu Allah s.wt, begitu juga manusia itu tidak boleh untuk hidup tanpa Tuhannya.

InsyaAllah segala apa yang saya temui dan miliki di sini akan saya jadikan bekalan sepanjang hidup ini khusus dalam mengecap cintaNya. Hidup ini adalah wasilah (medium), bukan matlamat. Percayalah, semua yang ada adalah bersifat sementara kecuali Dia..!

Moga Allah menjadikan saya di antara orang yang beramal, dan jauh sekali hanya berkata-kata. Begitu juga sahabat-sahabat dan saudara mara seAqidah dengan saya, agar diberikan oleh Allah swt taufiq dan hidayahNya dalam memacu kehidupan ke arah keredhaanNya.. Ingat! Hanya dengan Islam kita dimuliakn oleh Allah dan hanya dengan taqwa sahaja Dia memerhatikan kita dengan rahmatNya… Salam semulia JIHAD buat semua.

P/S: Islam adalah jalan penyelesaian bagi segala-galanya.. Hapuskan ISA, GST dan kembalikan mandat Islam serta royalti minyak, wahai manusia yang bergelar pemimpin…
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

MILEAGE MURAHAN, TIADA IDEALISME (SURAT TERBUKA UNTUK ASPIRASI UM)

Salam perubahan,

Universiti Malaya ialah merupakan universiti tertua di dalam negara, jadi tidak hairan ia sudah mengeluarkan beribu para intelektual yang tersohor dan terkenal di negara kita. Di samping itu, Universiti Malaya juga merupakan perintis kepada gerakan mahasiswa. Dengan momentum yang di mainkan oleh gerakan mahasiswa UM, sekaligus ia mendapat sambutan menyeluruh dari kampus-kampus yang lain.

Dalam pada itu, gerakan mahasiswa tidak dapat lari dari istilah perjuangan, ada yang pro dan kontra, jika kita meneliti kepada yang pro, sudah pasti kita mendapat jawapan yang tepat. Tapi, yang kontra inilah yang kita tak tahu apa pendirian mereka.

Pro-Mahasiswa atau aspirasi? tepuk dada tanya iman. Saya bersimpati dengan puak aspirasi yang ketandusan isu. Mereka seolah seperti kebudak-budakan dengan melibatkan orang lain untuk mendapatkan mileage murahan untuk meraih undi.
Bagaimana Universiti terbaik dunia boleh terisi dengan kelompok pelajar yang langsung tidak professional dalam mendepani massa. Saya berharap pihak HEP UM patut mengambil serius hal ini, kerana ia melibatkan masa depan UM yang tercinta.

Pro-Aspirasi (Penggerak Mahasiswa) ini perlu belajar untuk bersikap matang dalam bertindak. Tidak cukup mendepani batalion di UM, dah mintak untuk mendepani batalion di KUIS. Apa yang mereka mahukan?

Kepada mahasiswa UM, cukuplah drama yang dimainkan oleh puak-puak yang mengaku ‘Penggerak Mahasiswa’ ini. Mereka ini hanyalah boneka bagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, pihak yang takut kepentingannya terusik, maka dengan itu pihak-pihak ini menganjingkan sekumpulan mahasiswa untuk membawa agenda jahat mereka. Awas jangan tertipu, jika mereka melaungkan diplomasi, itu hanyalah omong kosong yang tidak menemui jalan penyelesaian. Tidak cukup contoh diplomasi yang dilakonkan oleh FATAH (Palestin)? FATAH ini boneka siapa? Saya rasa saudara semua tahu jawapannya.

Firman Allah s.w.t:
“Oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut - mereka menjadi orang-orang Yang ada hati Yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga Yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan Yang sebenarnya bukanlah mata kepala Yang buta, tetapi Yang buta itu ialah mata hati Yang ada di Dalam dada”. Surah al-Haj: 46

Ayuh Mahasiswa, kita perintis kepada perubahan ke arah Malaysia yang baru. Kita bergerak kepada matlamat yang jelas. Dalam kita bergerak kita tidak boleh bersendirian, tapi kita memerlukan satu wadah yang boleh memimpin, wadah itu adalah Pro-Mahasiswa. Satu gerakan yang bersifat menyeluruh, tiada diskriminasi, rasis dan sebagainya. Kita tiada kompromi kepada kebatilan tetapi kita pro kepada kebenaran.

Sehubungan dengan itu, Gerakan Mahasiswa Sedar KUIS (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor) menyokong sebarang usaha BANTAH untuk menuntut pembatalan penggunaan E-VOTING dalam PRK yang akan datang. GMS juga memohon kepada HEP kampus-kampus yang terlibat agar memberi perhatian serius di atas hal ini. Jangan di sebabkan nafsu, maruah sebagai seorang insan tergadai. HOPE & CHANGE untuk UM.


‘Dari Mahasiswa, Untuk Mahasiswa’
AHMAD SYAFIQ AKMAL BIN AHMAD KAMIL
Mantan Presiden Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) KUIS
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
RSS