Bersama Dr Haron: Undang-undang Islam hanya sesuai di negara Arab?


SOALAN: Di Malaysia, masyarakatnya majmuk, terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama. Rasionalnya undang-undang yang sedia ada paling sesuai bagi negara majmuk seperti Malaysia. Ada pun undang-undang Islam hanya sesuai untuk orang-orang Arab di negeri Arab, yang kebanyakannya terdiri daripada satu bangsa, tidak seperti kita. Inilah yang selalu menjadi perbualan yang sering dibangkitkan, apa pandangan Dato'? - TARMIZI WONG ABDULLAH, Seri Kembangan JAWAPAN: Islam bukan untuk orang Arab sahaja, meskipun pada mulanya diturunkan dalam masyarakat Arab. Islam sebenarnya untuk semua insan, ia risalah sejagat. Nabi Muhammad s.a.w. tidak diutus untuk satu-satu kaum sahaja, malahan untuk semua manusia. Allah berfirman (mafhumnya): "Dan tidak Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya..." (Surah Saba', ayat 28) Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda (mafhumnya): "Saya diutuskan untuk sekalian manusia." Dalam hadis yang lain baginda menyebut (mafhumnya): "Bahawasanya saya adalah rahmat Allah yang dihadiahkan kepada kalian." Muhammad adalah Rasulullah terakhir, Nabi akhir zaman, selepas baginda tidak ada lagi Nabi dan Rasul. Soalan anda bertitik tolak daripada masyarakat majmuk sebagai landasan untuk menyatakan bahawa Islam tidak boleh diterima sedangkan, hakikatnya masyarakat majmuklah yang menjadi pilihan Allah untuk melahirkan agama-Nya. Islam lahir dan berkembang dalam masyakarat majmuk, sama ada masyarakat Makkah ataupun Madinah. Ini bukanlah bererti masyakat majmuk yang berlainan agama itu mesti memeluk agama Islam. Tidak! Mereka dibebaskan atau diberi kebebasan untuk beramal dengan agama mereka sendiri. Masyarakat yang wujud sebelum kedatangan Islam, adalah masyarakat yang berpecah belah, setelah mereka menerima dan hidup di bawah naungan Islam, mereka menjadi aman dan bersatu padu. Daripada permusuhan mereka memupuk persaudaraan, daripada memakan harta secara tidak jujur kepada penuh kejujuran, daripada berbencian kepada berkasih sayang, daripada kemunduran kepada kemajuan, dalam erti kata yang sebenar. Inilah yang Allah sebutkan dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan berpegang teguhlah kamu sekalain dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah belah; dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah), lalu Allah menyatukan di antara hati-hati kamu (sehingga bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara mara..." (Surah Ali 'Imran ayat 103) Sekiranya anda berpegang kepada situasi di negara kita dengan keadaan yang kita berada sekarang ini, sudah cukup dan selesa untuk orang-orang seperti anda yang berkemungkinan tidak pernah bermasalah. Tetapi mengapa anda tidak merenung situasi yang orang ramai hadapi sekarang ini, di mana keselamatan akidah terancam, pegangan manusia kepada agamanya berkecamuk dan bercelaru. Nyawa manusia telah disia-siakan. Berlaku bunuh membunuh, kesihatan akal manusia bercelaru akibat mabuk, manusia hilang kewarasan, hatta untuk membuat perhitungan baik burukpun bercelaru. Maruah manusia jelas tergadai dan hilang harga diri. Apatah lagi apabila anda melihat gelagat muda mudi yang hanyut, meskipun ada yang baik. Harta benda yang dimangsakan oleh perompak, pencuri dan penipu. Indeks jenayah dalam semua kes terus melonjak, tidak ada petanda hal-hal sedemikian itu boleh reda. Hal-hal ini berlaku antara sebabnya ialah kerana undang-undang yang ada tidak berjaya membendung dan memperbaiki penyakit masyarakat yang berlaku. Cuba anda fikirkan pula hal-hal negatif ini tentulah cuba ditangani oleh pihak berkuasa dengan tindakan dan pelbagai cara, termasuk dengan mengadakan pusat pemulihan, atau dengan menangkap serta menghukum penjenayah di mahkamah. Tetapi semua yang berlaku, penyakit cuba diubati, tetapi tidak dilihat kesungguhannya, malah penyakit itu semakin hari semakin melebar dan teruk. Mengapakah tidak diusahakan ubat lain yang setidak-tidaknya dilihat sebagai suatu alternatif bagi mengubati penyakit-penyakit yang sedia ada. Kita adalah makhluk ciptaan Allah, Allah Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan makhluk ciptaan-Nya. Dia tahu penyakit yang akan dihidapi dan Allah menyediakan ubat untuk yang dicipta-Nya. Dia lebih mengenali manusia dan mengetahui atur cara atau manual yang perlu mereka ikut untuk mengatasi masalah kehidupan. Kerana itulah Allah SWT menurunkan agama-Nya dan peraturan-peraturan-Nya, bukan sahaja masyakat Islam, malah untuk manusia keseluruhannya. Dengan kebijaksanaan Allah undang-undang-Nya diturunkan, Kitab-Nya diketengahkan dan peraturan-peraturan-Nya dipaparkan, guna untuk keselamatan umat ini di dunia hingga ke akhirat. Oleh yang demikian, masyarakat majmuk bukan sebab Islam tidak boleh diterima, kerana Islam itu boleh memaparkan dan menawarkan kelebihan nyata untuk kepentingan insan. Wallahu a'lam.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
RSS