PENAWAR 'BIUS CINTA'



Salam Kemenangan, Salam 1 Malaysia...

Puas sudah bercoleteh pasal cintan-cintan (cinta) ni, jika bab ini diajak berborak pasti sampai ke sudah tidak akan habis dibualkan. Tapi yang pasti benda ni, mahu atau tak ia mesti dibicarakan, tapi melalui pandangan iman atau khasyyah (takut) pada Allah swt.

Alhamdulillah, dalam pada sedang cuti ni saya ada baca beberapa buah buku. Segala puji bagi Allah, banyak manfaat yang saya dapat daripada buku-buku tersebut. Ok, disini saya nak bercerita sedikit apa yang saya dapat. Perkara ini berkaitan CINTA la, ye lah selagi belum kahwin, orang muda ni khususnya remaja memang sangat syok melayan. Tak per bagi seluruh "Dua'at", mari kita berdakwah mengikut waqi'.

Kadang-kadang kita ni pening kepala, bagaimana nak menangani masalah sahabat-sahabat kita yang terkena 'bius cinta' ni. Kita juga memikirkan apakah penawar yang paling sesuai untuk mendapatkan penawarnya. Jangankan cakap kita sahaja yang memikirkan masalah ini, tapi sebenarnya orang yang terkena bius ni, dia juga kalau boleh tak nak langsung terkena masalah ini tapi apakan daya, dia tak mampu untuk melawannya. Semua orang ada perasaan ingin bercinta, jangan tipu diri sendiri, tapi yang dapat memelihara diri ini hanyalah kemanisan iman itu sendiri.

Satu hari Rem masuk ke bilik Husaini menceritakan masalah yang dihadapinya, "Eh Rem, awal anta bangun?"
"Bukan sudah bangun, tapi ana memang tak boleh tidur!"
"Kenapa tak boleh tidur?"
"Ana ada masalah akhi, ana mahu luahkan pada anta, tapi tolong ini menjadi rahsia di antara kita sahaja ye."
"Baiklah."

Rem menceritakan semuanya pada Husaini. Tentang Balqis yang ia sudah mula jatuh cinta pada gadis yang perawan dan baik akhlaknya, yang mana ia akan dinikahi oleh lelaki lain.

"Anta bayangkan, ana sudah mula mengenalinya semenjak dari ana pergi ke 1 program anak negeri. Dulu ana tidak menaruh hati padanya, tapi semenjak dia menjadi penolong ana untuk handle 1 program ni, dalam diam-diam ana sudah jatuh hati padanya dan mula merancang untuk meminangnya selepas 'grad' ni. Ana sangat mencintai dirinya akhi. Tapi, baru-baru ni ana dengar dari sahabatnya yang ibu bapanya akan mengahwinkannya bulan depan ni. Ana tertekan akhi, sekarang ana seperti dibakar oleh api cemburu. Bagaimana ana nak berhadapan dengan realiti ini akhi?"

Husaini tersenyum. Dengan tenang ia cuba memikirkan jawapan yang bersesuaian dengan situasi Rem agar ia dapat memberikan jalan penyelesaian pada sahabatnya itu.

"Akhi, masalah yang anta hadapi ini kecil saja. jangan anta beratkan kepala, nanti memudaratkan diri anta juga. Tenang, banyakkan 'istighfar' dan 'selawat' moga hatimu tenang akhi. Begini, ni kebetulan siang tadi ana baru lepas membaca kata-kata Ibn Athaillah dalam kitab al-Hikam yang sangat tepat mengenai persoalan cinta. Kata-katanya insyaAllah boleh menjadi penawar bagi penyakit anta. Sebenarnya apa yang anta alami ini adalah penyakit, percayalah wahai sahabatku."

"Dengar baik-baiknya kata-kata Ibn Athaillah ni. Beliau mengatakan: Tidak ada yang dapat mengusir syahwat atau kecintaan kepada kesenangan duniawi, melainkan ada rasa takut kepada Allah yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada Allah yang membuatkan hati merana."

"Cuba anta hayati betul-betul kalimat ulama' ini. Kecintaan anta pada Balqis itu syahwat. Boleh kata semua orang yang jatuh itu merasakan apa yang anta rasakan. Perasaan itu tidak dapat anta hilangkan dari hati kecuali dengan adanya 2 hal."

"Pertama, adanya rasa cintamu pada Allah yang sangat mendalam. Hinggakan di hati ini hanyalah Allah, maka yang lainnya dengan sendirinya menjadi kecil dan terusir jauh dari hati ini. Kedua, rasa rindu yang benar-benar menyengat, hinggakan betul-betul hati ini merana seperti yang anta rasakan sekarang. Pasti! anta tidak mungkin merana kerana rindu pada yang lain. Jika anta dah sibuk memikirkan Allah, anta tidak akan sibuk memikirkan yang lain."

"Akhi, hatimu miskin cinta dan rindu pada Allah, dengan sebab itu hatimu dijajah oleh cinta dan rindu pada yang lain. Ketika ini, perasaan cinta dan rindumu hanyalah pada Balqis. Itulah yang membuatkan anta terseksa. Padahal anta sudah tahu bahawa dia sudah dilamar oleh orang lain. Anta harus tahu perasaan seseorang tidak dapat mengubah hukum syariat, berapa besar pun rasa cinta anta pada Balqis, nescaya tidak akan sesekali merubah hukum dan status Balqis yang sudah dilamar orang."

"Majlis pernikahan telah disusun. Anta sama sekali tidak boleh merosakkannya. Kalau anta mahu jadi pejuang jangan separuh-separuh. Jadilah, sebenar-benar pejuang meskipun anta harus mengorbankan sesuatu yang paling berharga. Tidak ada seorang pejuang pun yang tidak berkorban apa-apa, inilah sunnah orang berjuang!"

Kedua-dua mata Rem basah mendengar kata-kata Husaini yang membuatkan hatinya terbuka untuk kembali kepada landasan sebenar matlamat hidupnya, iaitu meraih cinta hakiki, CINTA ALLAH.

"Terima kasih akhi, alhamdulillah hati ana sudah mula tenang sedikit. Ana lupa akhi, Allah lah segala-galanya. JazakAllahu khair ya akhi, diatas tunjuk ajar anta. Moga Allah sahaja yang dapat membalasnya."

Mendengar nasihat dari sahabatnya itu, seolah-olah ada kesejukan yang mengalir didalam jiwanya. Kesejukan yang membuat hatinya sedikit terhibur dan lega. Jiwanya perlahan-lahan menjadi tenang.

Sahabat-sahabatku yang dikasihi,

Percayalah, mencintai makhluk itu pasti menemui kehilangan. Pertemuan dengan makhluk juga pasti menemui perpisahan. Hanya dengan menyandarkan cinta pada Allah saja yang pasti tidak menemui kegagalan. Jika kita mencintai seseorang ada 2 kemungkinan sama ada diterima atau ditolak. Jika ditolak, alangkah sakit dan pahitnya. Namun, jika kita mencintai Allah, kita tidak akan pernah merasa kehilangan. Tidak akan ada orang yang boleh merebut Allah yang kita cintai itu dari hati kita. Tidak ada yang akan merampas Allah. Jika kita hidup dengan Allah, kita tidak akan pernah berpisah denganNya. Allah akan setia dengan kita, Dia tidak akan pernah curang atau berpaling cinta dan kasih daripada kita kecuali kita sendiri yang berpisah dariNya. Cinta yang paling bahagia adalah cinta pada Allah swt.



Ketahuilah, semua akan dipertemukan dengan pasangannya pada 1 hari nanti cuma bersabarlah seketika. Cinta Allah, segala-gala yang ada di Bumi ini akan mencintaimu, ini hakikatnya. Semua manusia termasuk haiwan mempunyai perasaan ingin mencintai dan dicintai, cinta adalah fitrah tapi jangan biarkan ia menjadi fitnah. Cinta bukan segala-galanya, tetapi kehilangan cinta seolah-olah kehilangan segala-galanya, maka lebih afdhal ia disandarkan pada Allah. Pada Allah kita menyandarkan Cinta, kasih dan harap. Sekian, salam 1 Malaysia.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
RSS