RAMADHAN KARIM, RAMADHAN YANG DI RINDUI



Segala puji bagi Allah yang mengizinkanku untuk menghirup udara di bulan Ramadhan, tiada lagi kata-kata yang dapat di ungkapkan dengan kehadiran mu Ya Ramadhan. Alhamdulillah aku dapat lagi menyambutmu. Terima kasih Allah, tiada yang ku dapat ungkapkan melainkan Alhamdulillah. Di kesempatan inilah sahabat-sahabat sekalian untuk kita sama-sama memperbaiki diri atau mempersiapkan diri untuk berhadapan 11 bulan yang akan datang. Rebutlah peluang ini, janganlah engkau mempersiakannya dengan engkau masih seperti dulu. Apabila Ramadhan tiba maka hendaklah kita berlumba-lumba melakukan ibadat pada bulan yang mulia ini. Inilah masanya kita membanyakkan solat-solat sunat di samping tidak meninggalkan solat wajib. Inilah masanya kita memperbanyakkan bacaan al-Qur'an, berzikir dan beristighfar. Inilah masanya kita mengimarahkan masjid dengan mengunjunginya pada setiap malam dan melakukan ibadah di dalamnya yang dimulakan dengan iktikaf yang diikuti dengan solat fardhu dan sunat serta membaca al-Qur'an di dalamnya.

Bulan Ramadhan adalah bulan untuk melahirkan hamba-hamba Allah yang bertakwa, kerana bulan ini telah banyak melatih hamba-hamba yang benar-benar ingin memperbaiki dirinya untuk hampir dengan Allah, tapi hanya bagi mereka yang benar-benar ikhlas, Firman Allah swt:
" Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa". surah al-Baqarah:183

Allah swt menerangkan hikmah berpuasa dengan ungkapan 'moga-moga kamu bertakwa. Sesungguhnya Allah swt telah menjadikan puasa sebagai wasilah atau perantaran untuk mencapai darjat ketakwaan. Tahap ujian ketakwaan sebenar menurut syara' ialah dengan menjauhi segala jenis kemaksiatan dan keburukan dalam diri setiap mukmin. Hikmah puasa juga dinyatakan oleh Rasulullah saw di dalam sebuah hadith:
" Puasa adalah pendinding, apabila seorang daripada kamu berpuasa maka janganlah ia mengucapkan kata-kata keji dan jangan berlaku jahil. Apabila ada orang yang memusuhinya atau mengejinya, hendaklah ia berkata: Aku berpuasa! Aku berpuasa!" (Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad. Lafaz ini adalah lafaz bagi Ahmad)

Perkataan 'pendinding' yang bersifat umum dan tidak terbatas kepada maksud pendinding dari api neraka semata-mata. Bahkan puasa turutmenjadi pendinding dari segala jenis penyakit seperti mengawal pemakanan seimbang, menghindari gejala kegemukan (obesity), ketagihan merokok dan sebagainya.

Wahai Pemuda! betapa besarnya puasa ini, apa yang engkau tunggu lagi, apa engkau masih beranggapan bahawa engkau pasti akan bertemu dengan Ramadhan akan datang? ketahuilah mati itu pasti, ia akan datang tanpa di ketahui bila. Ramadhan adalah Medan Tarbiyah, Ramadhan adalah bulan untuk engkau mula melabuhkan cinta padaNya, Ramadhan juga untuk engkau memohon keampunan dan bertaubat kepadaNya.

SALAM RAMADHAN 'AZIM UNTUK SEMUA, MAAF ZAHIR DAN BATIN SAYA PINTA KEPADA SEMUA YANG MENGENALI DIRI YANG HINA LAGI LEMAH INI. KEPADA ALLAH KITA SANDARKAN KASIH, CINTA DAN HARAP.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

PERANAN REMAJA MUSLIM


Salam jihad dari ku hamba yang hina untuk sahabat-sahabatku yang dikasihi Allah s.w.t...Pertama kita merafa'kan setinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t yang memiliki segala apa yang ada dilangit & dibumi...Kedua selawat & salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w,ahli keluarganya, para sahabatnya serta tabi' tabi'in...Ketiga kita mendoakan rahmat Allah s.w.t ke atas semua pejuang-pejuang agamanya, hamba-hambaNya yang beriman serta seluruh muslimin & muslimat...

Sahabat-sahabatku, hari ini saya nak berkongsi buku yang telah saya baca mengenai 'Peranan Remaja Muslim' yang banyak manfaatnya dapat kita aplikasinya dalam khidupan kita.

Saudaraku,
Setiap remaja Islam mempunyai tanggungjawab terhadap agama Islam, yang mesti ditunaikan di dalam dunia ini. Setiap remaja Islam perlu berusaha untuk menjadi Remaja Haraki agar tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tidak ada seorang pun yang dapat melepaskan dirinya daripada melaksanakan tanggungjawab ini. Rasulullah s.a.w bersabda yang mafhumnya:

"Semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya". (Hadith riwayat al-Bukhari)

Apa yang kita maksudkan dengan remaja haraki, ialah seorang remaja yang telah menyertai aktiviti pergerakan Islam, yang telah mengistiharkan dengan cara terbuka dan jelas dan jelas bahawa perjuangannya adalah(Matlamat Amal Islami, Said Hawwa') :
1) Individu muslim.
2) Baitul muslim (keluarga yang mengamalkan Islam).
3) Bangsa muslim.
4) Pemerintahan Islam.
5) Negara Islam memimpin.
6) Negara Islam bersatu.
7) Dunia tunduk & patuh pada Islam.

Remaja Haraki yang seperti ini sewajarnya mempunyai tugas yang besar dalam masyarakat hari ini yang tidak mungkin dapat memainkan peranannya jikalau tidak mempunyai bekalan yang secukupnya. Maka timbullah tanggungjawab sesebuah Harakah Islamiyah itu sendiri untuk menyediakan bekalan dan tarbiyah kepada anggota-anggotanya.

Ciri-ciri Remaja yang diperlukan oleh Masyarakat

Walaupun berbilang kaum, agama dan kebudayaan, masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai. Suasana sebegini perlu kita manfaatkan dengan menjalankan aktiviti dakwah, memperkenalkan apa yang kita perjuangkan, tunjukkan identiti muslim dan mempersembahkan akhlak yang baik melalui dakwah bil hal.
Seorang Remaja Haraki ialah remaja yang dapat mengembangkan nilai-nilai perjuangan di tengah-tengah masyarakat dan sebagai pembawa risalah Islam dalam kehidupan. Para Nabi dan Rasul 'alaihimussalam dijadikan model untuk dirinya. Mereka hidup di tengah masyarakat, bergaul, bermuamalah mengikut gambaran al-Qur'an dan sabda Rasulullah s.a.w, ciri-ciri mereka adalah seperti berikut:
a) Sentiasa bercakap benar kerana bercakap benar itu kemuncak kemuliaan dan tunjang segala akhlak yang mulia.
b) Seorang remaja muslim tidak ada perasaan Hasad dan Dengki.
c) Seorang Remaja Haraki dalam masyarakat adalah sebagai seorang penasihat (nasih) yang sentiasa memberikan pandangan yang membina. Mereka adalah manusia yang positif dan bukan negatif kerana agama itu seluruhnya ditegakkan atas keyakinan bahawa 'agama itu adalah nasihat' .
d) Seorang Remaja Haraki mesti menunaikan janjinya kepada masyarakat, termasuklah menghadiri mana-mana majlis menurut masa yang telah ditetapkan.
e) Remaja Haraki adalah baik akhlaknya. Ulama' telah menyenaraikan budi pekerti yang mulia antaranya adalah seperti berikut:

1) Bersifat malu (bertempat).
2) Lemah-lembut.
3) Pengasih.
4) Pemaaf.
5) Bertoleransi.
6) Bermanis wajah.
7) Peramah.
8) Dapat mengawal kemarahan.
9) Menyembunyikan aib orang lain.
10) Menghindarkan diri dari mengumpat.
11) Tidak berburuk sangka terhadap saudaranya.
12) Tawadhu'.
13) Ringan tulang.
14) Suka membantu.
15) Suka akan perkarayang ma'ruf dan benci akan kemungkaran.
16) Mudah mesra.

Moga perkongsian ilmu ini dapat saya dan sahabat-sahabat amalkannya seterusnya menyampaikannya pada semua. Islam untuk semua begitu juga ilmu, ia tiada yang terkecuali untuk mendapatkannya. YA Allah, saksikanlah...Aku telah menyampaikannya...
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

PERISTIWA BERSEJARAH DI BULAN SYA'BAN

Di samping kemuliaan malam Nisfu Sya'ban, ia juga mempunyai peristiwa bersejarah yang begitu bermakna kepada umat Islam. Pada siangnya, Allah s.w.t telah menukar kiblat umat Islam dari Bait al-Muqaddis ke Bait al-Haram sebagai menyahut dan memperkenankan permintaan dan keinginan Rasulullah s.a.w.
Pada ketika itu, kebanyakan orang yahudi mencaci Rasulullah s.a.w kerana Baginda Rasulullah s.a.w solat menghadap ke Bait al-Muqaddis sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Lalu Baginda Rasulullah s.a.w mengangkat mukanya ke langit memohon kepada Allah s.w.t agar menukarkan kiblat ke arah yang dikehendakinya untuk menghentikan ejekan orang-orang yahudi terhadapnya.
Ketika Rasulullah s.a.w sedang mengerjakan solat Zuhur di dalam Masjid Bani Salamah (sekarang dikenali dengan Masjid Qiblatain) dalam keadaan menghadap ke Masjid al-Aqsa di Syam, maka turun wahyu daripada Allah s.w.t dalam firmanNya di dalam surah al-Baqarah: 144 yang maksudnya: "Palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya".
Ketika itu Rasulullah s.a.w telah melepasi solat 2 rakaat dalam keadaan menghadap ke Bait al-Muqaddis. Setelah diturunkan wahyu, Rasulullah s.a.w menyambung solatnya pada 2 rakaat yang terakhir dengan menghadap ke arah Masjid al-Haram. Oleh kerana itulah, masjid tersebut dinamakan debgan Masjid al-Qiblatain (masjid 2 kiblat). Masjid inilah yang sering diziarahi oleh umat Islam yeng pergi mengerjakan Umrah, mereka pergi menziarahi Madinah untuk melihat kesan-kesan sejarah dan kebesaran Islam.
Sebahagian ulama' juga mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w juga menunaikan solat Asar di masjid tersebut dalam keadaan menghadap ka Ka'bah untuk memperkuatkan lagi hukum tersebut dan menetapkannya bagi seluruh kaum Muslimin.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

KEWAJIBAN UNTUK SEGERA BERTAUBAT

Wahai saudaraku! Hendaklah kamu segera bertaubat meminta keampunan dari Allah s.w.t.

Hendaklah kamu melazimi menghidupkan malam Nisfu Sya'ban sekiranya kamu inginkan kejayaan daripada Allah s.w.t. Telah berlalu bulan Rejab yang mubarak dan malam yang berkat ini ialah malam Nisfu Sya'ban, namun kamu masih lagi berada di takuk yang lama dalam kelalaian dan dosa pada setiap masa.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

PENDAPAT SALAF TENTANG MALAM NISFU SYA'BAN

Telah berkata Ibn Rajab di dalam kitab Lataif al-Ma'arif m/s:18..."Para Tabi'en di kalangan penduduk Syam seperti Khalid Bin Ma'dan, ma'khul, Luqman ibn 'Amir dan lain-lain kesemuanya membesarkan malam Nisfu Sya'ban dan bersungguh beribadah pada malam tersebut. Dari perbuatan mereka, manusia telah mengikutnya dan membesarkan malam tersebut".
Sependapat dengan mereka membesarkan malam Nisfu Sya'ban ialah kumpulan ahli ibadah dari penduduk Basrah dan lain-lainnya. Kemudian ada di dalam kitab tersebut perselisihan ulama'-ulama' mengenai perkara tersebut. Perkara ini telah di nyatakan oleh ulama' Syam bahawa golongan ini terdiri daripada 2 golongan:

1) Golongan yang berpendapat sunat menghidupkan malam tersebut secara berjemaah. Mereka memakai pakaian yang cantik, memasang wangi-wangian dan beribadah pada malam tersebut di dalam masjid. Sependapat dengan mereka ialah Ishak ibn Rahawiyyah(guru kepada Imam Bukhari r.a).

2) Golongan yang mengharuskan malam tersebut dihidupkan di dalam rumah dan mengatakan makruh menghidupkannya di dalam masjid. Ini adalah pendapat al-Auza'ie yang merupakan Imam bagi penduduk Syam dan Ulama' muktabar(besar) mereka.

Manakala dalam hal ini Ibn Rejab memilih pendapat yang kedua. Pada salah satu daripada 2 riwayat daripada Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a, beliau menghukumkan sunat menghidupkan malam Nisfu Sya'ban kerana ia dilakukan oleh Abdul Rahman ibn Yazid ibn al-Aswad (tabi'en) dan kumpulan ulama' besar fiqh penduduk Syam.

Berkata al-Muhaddith Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim,"Maka cukuplah kita bersandarkan kepada pegangan Imam Ahmad Bin Hanbal dan tabi'en yang merupakan ahli fiqh yang alim dan wara' sebagai mengharuskan amalan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah".

Dipetik dari Kitab "Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban" karangan al-Muhaddith al-Hafiz Syeikh Salim al-Sanhuri al-Maliki r.a.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
RSS