PERISTIWA BERSEJARAH DI BULAN SYA'BAN

Di samping kemuliaan malam Nisfu Sya'ban, ia juga mempunyai peristiwa bersejarah yang begitu bermakna kepada umat Islam. Pada siangnya, Allah s.w.t telah menukar kiblat umat Islam dari Bait al-Muqaddis ke Bait al-Haram sebagai menyahut dan memperkenankan permintaan dan keinginan Rasulullah s.a.w.
Pada ketika itu, kebanyakan orang yahudi mencaci Rasulullah s.a.w kerana Baginda Rasulullah s.a.w solat menghadap ke Bait al-Muqaddis sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Lalu Baginda Rasulullah s.a.w mengangkat mukanya ke langit memohon kepada Allah s.w.t agar menukarkan kiblat ke arah yang dikehendakinya untuk menghentikan ejekan orang-orang yahudi terhadapnya.
Ketika Rasulullah s.a.w sedang mengerjakan solat Zuhur di dalam Masjid Bani Salamah (sekarang dikenali dengan Masjid Qiblatain) dalam keadaan menghadap ke Masjid al-Aqsa di Syam, maka turun wahyu daripada Allah s.w.t dalam firmanNya di dalam surah al-Baqarah: 144 yang maksudnya: "Palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya".
Ketika itu Rasulullah s.a.w telah melepasi solat 2 rakaat dalam keadaan menghadap ke Bait al-Muqaddis. Setelah diturunkan wahyu, Rasulullah s.a.w menyambung solatnya pada 2 rakaat yang terakhir dengan menghadap ke arah Masjid al-Haram. Oleh kerana itulah, masjid tersebut dinamakan debgan Masjid al-Qiblatain (masjid 2 kiblat). Masjid inilah yang sering diziarahi oleh umat Islam yeng pergi mengerjakan Umrah, mereka pergi menziarahi Madinah untuk melihat kesan-kesan sejarah dan kebesaran Islam.
Sebahagian ulama' juga mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w juga menunaikan solat Asar di masjid tersebut dalam keadaan menghadap ka Ka'bah untuk memperkuatkan lagi hukum tersebut dan menetapkannya bagi seluruh kaum Muslimin.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "PERISTIWA BERSEJARAH DI BULAN SYA'BAN"

RSS