Dimana Prioriti kita…?




Segala puji bagi Allah bagi setiap kurniaanNya. Selawat dan salam, ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, ahli keluarga, para sahabat serta seluruh saf pejuang Islam dan mereka yang menyambut seruan Islam yang mulia ini.

Firman Allah s.w.t:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul Yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? dan (ingatlah), sesiapa Yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu”. Ali-‘Imran: 144


Baru-baru ini kita umat Islam dikejutkan oleh satu tindakan berani seorang wartawan kuffar yang secara terangan dan berani menghina junjungan besar Rasulullah s.a.w. Satu perbuatan yang tidak bertamadun ini betul-betul mencabar sensetiviti umat Islam dari pelbagai latar belakang. Persoalannya di sini, kenapa perkara ini boleh berlaku? Pernah kita umat Islam membuat satu tindakan yang memburukkan mana-mana agama? Jauh sekali tidak. Jadi apa sebenarnya realiti yang melanda umat Islam sekarang?

Jawapannya mudah, tepuk dada tanya iman…


Rentetan daripada insiden itu Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) bersama NGO2 Islam mengadakan satu demonstrasi aman (tiada gangguan FRU) serta penyerahan memorandum kepada Duta Kedutaan Sweeden bagi mendesak pihak Sweeden mengambil tindakan segera kepada makhluk Allah yang menjadi anjing kepada puak-puak yang sentiasa merancang untuk menghancurkan Islam.


Umat Islam kena bangkit dalam mimpi dunia ini yang sentiasa melalaikan kita dari tujuan asal kita diciptakan di muka bumi Allah ini. Rasulullah s.a.w telah wafat, wahyu telah terputus daripada langit. Apa yang telah ditinggalkan oleh Baginda s.a.w hanya dua perkara, yang Nabi berjanji bahawa sekiranya kita benar-benar berpegang dengannya nescaya tidak akan sesekali sesat, itulah Al-Qur’an yang suci dan As-Sunnah yang mulia.


Hari ini di mana kita meletakkan kedua-duanya? Kita hanya mengambil sebahagiannya dan kufur sebahagiannya. Tak ubah seperti perangai Bani Israel yang Allah firman di dalam al-Qur’an tentang perihal mereka ini yang beriman dengan separuh kitab dan kufur kepada separuh kitab (al-Baqarah:85). Mungkin juga tak ubah seperti keldai yang memang binatang ini dikenali dengan kebodohannya, di mana ia tidak mengetahui apa-apa isi yang diletakkan di atasnya (al-Jumu’ah:5).


Kita sibuk menunding jari antara satu sama lain. Kita lebih suka meruntuh daripada membina. Kita lebih suka menghukum daripada sama-sama turun ke medan dakwah. Kita lebih suka bercakap dari bertindak, alih-alih resolusi. Setiap tahun ada sahaja resolusi yang dibuat, tapi di mana hasilnya…?


Sifirnya mudah, dalam hal ini sekiranya kita pilih Islam sebagai jalan penyelesaiannya, maka akan selesai segala persoalan yang berlaku. Islam bukan semata-mata menjadi batu loncatan untuk memancing sokongan Umat Melayu untuk mencapai kemerdekaan, tetapi Islam adalah cara hidup dan Islam sebagai Ad-Deen.


Kita mengaku bahawa kita mengasihi dan mencintai Rasulullah s.a.w tetapi dalam masa yang sama kita mengkhianati lafaz cinta tersebut dengan tindakan kita yang biadab. Memperlekeh hukum Allah, mempertikaikan sunnahnya, mempersoalkan ajarannya dan sebagainya. Bukankah dengan kita beramal dengan Islam itu adalah bukti cinta kita yang tulus, bukankah cinta itu dengan kita menghargainya, dengan menghargai barulah hadirnya pengorbanan yang erti pengorbanan adalah memberi sesuatu yang kita miliki dari sudut material dan sebagainya. Dengan cinta inilah yang akan menjadikan seseorang mukmin itu optimis dalam melaksanakan segala ajaran Baginda Rasulullah s.a.w.


Kembalilah dengan Islam, itulah yang tepat. Menjadi satu pengorbanan dan bukti cinta juga sekiranya kita sama-sama turun berdemontrasi, berjalan beberapa langkah serta berpanas terik semata-mata demi Rasulullah s.a.w. Moga diberikan ganjaran syurga daripada Allah s.w.t di atas tindakan kita ini. Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang hadir.


Persoalannya di sini di mana prioriti kita, sama ada berarak di Maulid Nabi atau berarak berdemontrasi demi membela maruah Baginda s.a.w?

Jangan cakap. Tapi lakukan...
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Dimana Prioriti kita…?"

RSS